SURAT UNTUK YBMK
Assalammualaikum wbt.
Kepada
YB Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Malaysia.
14 Jun 2018
Per : ISU PEMBAYARAN ‘ONCALL’ PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN (PPP) DI KLINIK KESIHATAN.
Merujuk kepada perkara diatas, saya ingin menarik perhatian YB Dr Dzulkefly Ahmad selaku Menteri Kesihatan yang baru. Semoga dengan surat ini, ia dapat memberi gambaran sebenar kepada YB.
Latar Belakang.
Perkhidmatan tugas atas panggilan atau ‘oncall’ adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.
Biasanya bagi Klinik kesihatan (KK) yang jauh dari hospital, maka KK tersebut perlu menyediakan pegawai oncall yang perlu melihat pesakit bagi kes-kes kecemasan dan dilihat segera.
Selain itu pegawai oncall juga perlu menjadi ‘1st responder’ untuk respon kes-kes panggilan ambulans dikawasan yang ditetapkan.
Pegawai oncall akan bertugas secara aktif dari jam 5 petang hingga jam 8pagi setiap hari bergantung kepada jadual oncall.
Jika di sesebuah klinik tersebut ada 2 PPP, maka setiap PPP akan oncall selang seminggu dengan jumlah oncall sebulan 2 minggu atau 14 hari.
Sehari oncall bersamaan 15 jam
Seminggu oncall bersamaan 123 jam (sabtu&ahad =48 jam)
Apabila seseoang pegawai ditugaskan sebagai pegawai oncall untuk minggu tersebut, pegawai tersebut perlu memegang telefon genggam (HP) yang disediakan. Pegawai diwajibkan berada dalam lingkungan 7KM dari KK jika tidak tinggal di kuarters dan perlu sampai untuk respon kes dalam masa 15 minit.
PPP adalah pegawai pertama yang akan respon kes. Sekiranya kes ringan, PPP akan rawat dan discajkan pesakit. Jika kes berat, PPP perlu berbincang dengan Pegawai Perubatan (MO) oncall. Sepatutnya MO oncall perlu datang, tapi biasanya kes berat perlu dirujuk ke hospital, maka sebaiknya dari menunggu MO datang, maka PPP lah yang akan membawa pesakit ke hospital dengan ambulans.
2. Permasalahan.
PPP hanya dibayar mengikut berapa jam yang ada sahaja. Sebagai contoh untuk panggilan ambulans, PPP boleh klim 2 jam sahaja, walaupun kes tersebut pada jam 2 pagi. Bagi kes luka kecil dengan prosedur seperti dressing, PPP hanya boleh klim 1 jam walaupun ia mungkin kes pada jam 10 malam.
Jika dalam seminggu atau 123 jam itu hanya ada 3 jam sahaja kes, PPP hanya boleh klim 3 jam sahaja walaupun terpaksa tunggu sedia selama 123 jam. Lebih menyedihkan 3 jam tersebut juga dibayar mengikut gaji asas seseorang pekerja. Contohnya yang berpengalaman kerja selama 11 tahun akan mendapat RM15.08 per jam. Sedangkan untuk pekerja baru 2-3 tahun akan mendapat jauh lebih rendah.
Untuk MO, bagi oncall pasif mereka dibayar RM80 sejam dengan maksimum boleh klim 4 jam sehari walaupun tidak menerima apa-apa panggilan. RM85 sejam untuk hari kelepasan am.
Tiada jumlah jam minimum atau maksimum untuk PPP klim dari oncall yang tiada panggilan walaupun mereka oncall secara aktif.
Ini mendorong kepada kecurangan klim oncall seperti yang terjadi kepada beberapa orang PPP di Sabah.
Untuk berlaku adil, menghargai pekerja sewajarnya dan mengelakkan ruang kecurangan, maka YB diminta untuk melihat dan menyisat perkara ini dengan sebaik-baiknya.
Untuk pengetahuan YB, PPP dibayar elaun oncall RM60 sebulan. Bersamaan RM 2 sehari atau 13sen sejam untuk hari biasa atau 0.8 sen untuk hari minggu. Adakah bayaran ini wajar? Tentu sekali tidak.
3. Cadangan.
Saya mencadangkan kaedah pembayaran serupa yang diamalkan oleh MO turut diguna pakai untuk PPP.
Jika MO sebagai Pegawai Perubatan dibayar RM80 sejam, selayaknya PPP sebagai Penolong Pegawai Perubatan dibayar separuh iaitu RM40 sejam dengan maksimum klim sehari seperti yang ditetapkan iaitu 4 jam.
Isu ini perlu diberi perhatian segera kerana ia telah berlarutan sekelian lama dan menjatuhkan semangat kerja PPP di lapangan.
Dalam kajian sains sumber manusia mengatakan Equity Theory jika tidak diamalkan akan menyebabkan semangat pekerja jatuh dan timbul rasa tidak puas hati.
Semoga pihak YB akan mengambil tindakan lanjut untuk mengatasi isu ini.
Segala jasa baik pihak YB, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Yang Benar
PPP Oncall(termasuk hari raya)
Mohd Fyrolikram bin Othman
Penolong Pegawai Perubatan
KK Jengka 8
Pahang.
Bertugas sebagai Pasukan Perubatan tunggu-sedia |
kawasan perumahan orang asli - kes retained placenta (uri sangkut) |
Melawat pesakit di rumah |
Telefon oncall yang disediakan |
ambulan lama yang berkhidmat |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan