Ahad, 18 Januari 2015

Kawalan Infeksi dari sudut pandangan Islam.



Oleh : Fyrol Ikram Othman
Artikel ini diterbitkan kali pertama dalam Buletin Agenda PPP Hospital Sungai Buloh.

Islam merupakan sebuah agama yang amat menitik beratkan kesihatan. Nikmat kesihatan dianggap sebagai nikmat terpenting selepas nikmat iman. Ini dijelaskan sendiri oleh Ibnu Abbas ketika mentafsirkan maksud ayat dari surah ar-rahman ; nikmat mana yang kamu dustakan.
Bagi memastikan kesihatan seseorang terjamin maka pencegahan kepada penyakit amatlah penting. Islam menganjur umatnya menjaga kesihatan dengan menjaga makan, mengamalkan makanan sihat seperti pemakanan sunnah dan bersukan.
Namun yang menariknya ialah bagaimana Islam menganjurkan kaedah dalam kawalan jangkitan atau lebih dikenali kini dengan ” Infection Control”

Infection Control atau kawalan infeksi merupakan ilmu perubatan bagi mengelakkan jangkitan berlaku terutamanya di hospital. Risiko pesakit yang masuk hospital untuk mendapat penyakit lain seperti jangkitan kuman adalah tinggi jika elemen-elemen kawalan infeksi tidak diamalkan. Selain itu kawalan infeksi juga bertujuan untuk membantu pekerja kesihatan mengelak dari mendapat risiko jangkitan dari pesakit.

Elemen penting kawalan infeksi diterjermahkan melalui amalan ’standard precaution’. Standards Precaution merupakan senjata paling ampuh bagi pekerja kesihatan melindungi diri mereka sendiri dari jangkitan dan bagi mengelakkan pesakit mendapat jangkitan dari penyakit lain. Antara elemen tersebut adalah seperti berikut.

  1. Kebersihan Tangan
Elemen terpenting dalam kawalan infeksi ialah ’Hand Hygine’ atau kebersihan tangan. Ini bagi mengelakan berlakunya jangkitan silang akibat dari tangan pekerja hospital yang tidak bersih dari mikroorganisma merbahaya.

Didalam islam, selain membasuh tangan ketika mengambil wuduk dan makan terdapat sunnah lain yang jarang diamalkan tetapi penting dalam kawalan penyakit iaitu membasuh tangan apabila bangun dari tidur.

        Dan apabila seseorang bangun daripada tidurnya , hendaklah ianya membasuh kedua tangannya 3 kali sebelum ia memasukkannya (tangan) ke dalam bekas yang berisi air (kolam).Kerana sesungguhnya , ia tidak tahu dimana tangannya berada (semasa tidur).”
[Hadis Muttafaqun ‘Alaihi , Bukhari : 162 dan Muslim : 278]

  1. Alat perlindungan diri
Elemen seterusnya didalam kawalan infeksi khususnya dalam amalan ‘standard precaution’ ialah alat perlindungan diri (PPE) seperti ‘mask’, ‘glove’ dan ‘apron’.
Personal Protective Equipment (PPE) juga satu elemen penting yang wajib diamalkan oleh anggota kesihatan terutamanya dalam tugas-tugas tertentu seperti semasa pengambilan darah,aktiviti steril dan menangani kes-kes penyakit bawaan udara. Ini kerana pekerja kesihatan berdepan dengan risiko tinggi dalam menjalankan tugas seharian mereka. Ini juga bersesuaian dengan satu hadith yang bermaksud “Tidak ada jangkitan penyakit tanpa sebab.” (Hr Bukhari). Berdasarkan hadith ini, seseorang itu perlu menjaga diri sendiri dengan mengambil langkah-langkah perlu terutamanya apabila berdepan dengan tugas berisiko. Ini kerana sesuatu penyakit itu boleh terjadi kerana sebab-sebab seperti tidak memakai alat perlindungan diri secukupnya.

 Alat pelindung diri bukan sahaja berperanan sebagai melindungi anggota kesihatan dari terkena penyakit dari pesakit, tetapi juga bertujuan melindungi pesakit dari penyakit dan mikroorganisma merbahaya yang dibawa oleh anggota kesihatan. Malah menurut akta keselamatan pekerja, pekerja yang tidak memakai alat pelindungan diri boleh didenda sehingga RM 1000 atau penjara sehingga 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam catitan sirah menunjukkan baginda Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengamalkan pemakaian alat perlindungan diri semasa menjalankan tugas-tugas yang memerlukannya, sebagai contoh baginda mempunyai tujuh baju besi bagi mempertahankan diri dalam peperangan dengan nama-nama tertentu sperti Dzatul Fudhul,Sughdiyah,Khirniq dan lain-lainnya.

Setiap anggota kesihatan perlu mahir dalam pemakaian PPE. Kekurangan dalam pemakainya akan memberi risiko kepada staf kesihatan, manakala terlebih memakai PPE akan menimbulkan kegemparan awam dan juga pembaziran.


3. Kebersihan persekitaran (enviromental)
Amalan kebersihan persekitaran didalam industri kesihatan amatlah dititik beratkan.
Didalam islam, kebersihan dianggap sebagai sebahagian daripada iman. Islam menggalakkan persekitaran yang bersih dan suci. Kebersihan persekitaran adalah penting bagi mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit. Persekitaran yang tidak bersih bukan sahaja mengundang penyakit tetapi juga haiwan pembawa penyakit seperti tikus,lipas,lalat,semut dan anai-anai serta menggangu kelancaran bekerja.

Selain itu ‘First Global Patient Safety Challenge’ turut menggariskan air yang bersih sebagai keperluan penting bagi mengelakkan jangkitan. Islam mempunyai piawaiannya sendiri mengenai air. Untuk bersuci dan megambil wuduk hanya air mutlak yang dibenarkan, iaitu air yang suci dan menyucikan. Ciri-cirinya ialah bebas dari bau, warna dan rasa yang mengubah dirinya dari sifat asal. Selain itu air mustakmal juga mestilah dalam keadaan mengalir, jika bertakung hendaklah lebih dari dua kolah atau lebih kurang 174 liter.

  1. Etika Batuk
‘Cough Etiquette’ atau ‘Respiratory Hygine’ merupakan elemen penting yang dimasukkan didalam ‘Standard Precaution’. Elemen ini diperkenalkan bagi mengatasi masalah jangkitan berkaitan batuk seperti ‘droplet’ dan ‘airborne’ yang menyebabkan rebakan  penyakit-penyakit seperti H1N1, SARS dan TB.

Didalam islam terdapat beberapa etika yang boleh diamalkan contohnya doa semasa bersin dan mengelakkan diri dari orang ramai apabila menghadapi batuk-batuk.

Dalam satu riwayat, Nabi Muhammad saw telah mempercepatkan solat ketika batuk. Ketika meimamkan solat dan membaca Surah al-Mukminun pada ayat “Musa wa Harun” atau pada ayat “Musa”, baginda terganggu oleh batuk, kemudian terus rukuk. [H.R. Bukhari]


  1. Pengasingan (Cohort)
Dalam kawalan infeksi, amalan cohort adalah sesuatu yang penting bagi mengelakkan merebaknya penyakit (outbreak). Cohort diamalkan untuk kes penyakit yang berjangkit melalui ’contact’ dan bawaan udara. Contohnya pesakit yang mempunyai mikroorganisma MRSA diasingkan dari pesakit biasa, contohnya dihujung wad. Begitu juga pesakit TB diasingkan didalam bilik ’negative pressure’. Ini bersesuaian dengan hadith nabi yang bermaksud "Pesakit yang berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.” (Hr Bukhari).

Selain itu Nabi saw juga bersabda “Bergaullah bersama pesakit kusta dengan jarak selembing atau dua lembing.” (Hr Abu Nu’aim). Dalam amalan kawalan infeksi sebagai contoh, pesakit yang jangkitannya melalui ’droplet’ perlu dijauhi dengan jarak tiga kaki bagi mengelakan jangkitan.


  1. Melarang kanak-kanak dan orang berimuniti rendah melawat Hospital.
Antara polisi hospital ialah melarang kanak-kanak dibawa untuk melawat pesakit dihospital. Ini bertujuan untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut dijangkiti penyakit, ini kerana walaupun hospital adalah pusat merawat penyakit, tetapi hospital juga adalah lubuk kepada perlbagai jenis mikroorganisma merbahaya yang datang dari pelbagai pesakit.

Selain kanak-kanak, orang berimuniti rendah seperti orang-orang tua, pengidap penyakit metabolik dan pengidap penyakit kanser juga tidak digalakan melawat hospital atau orang sakit atau mendedahkan diri mereka kepada wabak penyakit kerana imuniti yang rendah. Ini juga selari dengan satu hadith yang bermaksud “Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.”
(Hr Bukhari). Saranan Nabi saw ini kepada umatnya supaya mereka berhati-hati ketika bermuamalat dengan pesakit yang membawa penyakit yang boleh berjangkit.

 Islam juga  menggalakkan umatnya berusaha mengelakkan dari penyakit. Antara usahanya adalah tidak masuk ke tempat yang ada penyakit berjangkit atau wabak. Ini jelas apa yang berlaku kepada saidina Umar ketika mana beliau hendak masuk ke dalam Syam. Apabila beliau mengetahui di syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah berkata:“Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?” Umar menjawab: “Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” (Hr Bukari)

Polisi mengelakkan jangkitan ini bukan sahaja terpakai untuk orang sihat, tetapi untuk orang sakit. Orang sakit terutamanya yang berimuniti rendah tidak digalkkan dilawat dengan kerap dan ramai orang, malah untuk melawat pesakit-pesakit ini, pelawat memerlukan alat pelindung diri seperti topeng muka ’surgical mask’ dan apron, tujuannya ialah untuk mengelakkan mikroorganisma bebahaya yang dibawa oleh pelawat menjangkiti pesakit.

Begitulah sedikit sebanyak dari elemen-elemen penting kawalan infeki yang boleh dikaitkan dengan islam. Sekiranya kajian dijalankan dengan lebih teliti, pasti kita akan menemui banyak lagi persamaan dengan amalaan sunnah Rasullah s.a.w

Oleh yang demikian, sebagai seorang islam amalan kawalan infeksi hendaklah diamalkan dengan bersunguh-sungguh kerana ianya bukan sahaja amalan keselaamtan pekerjaan, tetapi juga satu bentuk ibadah yang disarankan oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".

Selain itu dengan mematuhi amalan kawalan infeksi, pengamal akan mengelakkan dari berlakunya perkara-perkara yang memudaratkan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan.”

Satu hadis Nabi yang diriwayatkan Malik, Al Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah pula berbunyi “Tidak diizinkan melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.

Semoga dengan sedikit coretan ini akan menjadikan anda lebih bersungguh untuk mengamalkan kawalan infeksi dalam tugasan seharian.

* Penulis ialah pemegang PB Infection control dan juga Diploma Tasawwur Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan